Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Mesyuarat Negara
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 November. - Sebagai sebahagian daripada aktiviti 'turun padang', empat Ahli Majlis Mesyuarat Negara daripada Kumpulan Cemerlang telah mengadakan sesi dialog bersama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) yang menghimpunkan sembilan Pertubuhan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Negara Brunei Darussalam berlangsung di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara, di sini.
Sesi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan berkenaan untuk memahami status semasa, perkembangan serta cabaran yang dihadapi oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut.
MKOKU adalah Badan Induk (National Umbrella Body) dan satu-satunya Badan Bukan Kerajaan rasmi (NGOs) yang mewakili organisasi-organisasi Orang Kelainan Upaya (OKU) di Negara Brunei Darussalam yang membawa visi masyarakat inklusif di mana hak, maruah dan kesejahteraan golongan berkeperluan khas diiktiraf, diterima, dan dilindungi secara adil.
MKOKU dianggotai oleh sembilan pertubuhan iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Society for the Management of Autism Related Issues in Training, Education and Resources (SMARTER), Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), Special Olympics Brunei Darussalam (SOBD), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Persatuan Sindrom Down (ABLE), Brunei Darussalam National Association for the Blind (BDNAB), Persatuan Paraplegic and Physically Disabled Association (PAPDA), dan Learning Ladders Society (LLS).
Semasa sesi dialog, tujuh daripada sembilan pertubuhan hadir.
Pertubuhan-pertubuhan berkenaan menekankan beberapa isu dan cabaran utama seperti jurang pendidikan dan kekurangan guru yang terlatih dalam sokongan inklusif; Kekangan peluang pekerjaan dan kekurangan laluan persediaan kerjaya yang sesuai bagi OKU dan Infrastruktur dan akses yang belum diseragamkan (seperti garis panduan tempat letak kereta OKU dan kemudahan akses).
Selain itu juga membincangkan mengenai ketidakselarasan dasar antara agensi yang mengakibatkan aplikasi dasar yang tidak jelas di peringkat pelaksanaan; Kesedaran dan amalan bahasa isyarat masih lemah dan belum disampaikan dengan efektif kepada masyarakat; Sumber yang terhad, khususnya buku teks braille dan Al-Quran braille yang masih banyak bergantung kepada sumber luar dan Keperluan kepada data dan penyelidikan yang lebih kukuh dan bersepadu.
Para Ahli Majlis Mesyuarat Negara mengakui ketabahan, komitmen dan rasa dedikasi yang ditunjukkan oleh pertubuhan-pertubuhan dalam terus berkhidmat kepada komuniti OKU walaupun berdepan sumber yang terhad dan kekangan struktur.
Sesi dialog diakhiri dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan kerjasama, meningkatkan penyelarasan dasar serta mengenal pasti perkongsian strategik bagi menyokong pembangunan masa depan komuniti OKU di Negara Brunei Darussalam.